PUTRAJAYA, 6 Januari — Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mencadangkan penubuhan sebuah Pusat Penyelidikan Desa sebagai platform strategik bagi memperkukuh perancangan serta pelaksanaan dasar pembangunan luar bandar negara.
Beliau yang juga merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata pusat berkenaan dicadang berfungsi sebagai rujukan dasar utama kementerian berasaskan data, kajian dan bukti lapangan.
Katanya, ini sekali gus memandu gerak kerja Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah secara lebih berfokus dan berimpak tinggi.
“Saya mahu diwujudkan satu platform pemikiran strategik yang berfungsi sebagai pusat penyelidikan desa. Insya-Allah, platform ini akan menjadi rujukan dasar yang memandu gerak kerja kementerian secara lebih berfokus dan berasaskan bukti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2026 Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini, hari ini.
Menurut beliau, pusat penyelidikan desa itu juga berperanan mendokumentasikan pencapaian pembangunan luar bandar secara sistematik menerusi penerbitan jurnal, laporan dan buku sebagai rujukan umum.
Dalam amanat sama, beliau menegaskan 2026 perlu menjadi tahun anjakan pemikiran dan cara kerja warga kementerian dengan penekanan terhadap perubahan berasaskan sistem, disiplin pelaksanaan serta penilaian hasil sebenar kepada rakyat, bukan sekadar bilangan program atau jumlah peruntukan.
Menurut beliau, cadangan penubuhan pusat berkenaan selari dengan hala tuju KKDW 2026 bagi memastikan setiap dasar dan intervensi pembangunan luar bandar memberi kesan langsung, mampan dan menyeluruh kepada kehidupan rakyat desa.