Utamakan amalan akhirat, bukan persediaan luaran kematian

SHAH ALAM, 4 Januari – Umat Islam dinasihatkan supaya berpegang kepada prinsip awlawiyyat atau keutamaan dalam kehidupan, termasuk dalam membuat persediaan menghadapi kematian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, tumpuan seharusnya diberikan kepada amalan yang memberi manfaat selepas mati, bukan perkara bersifat luaran atau berlebihan.

“Setiap orang mempunyai kemampuan yang berbeza, namun sebagai pihak berautoriti agama, kami menyeru umat Islam supaya memberi tumpuan kepada perkara yang lebih utama berbanding hal yang tidak termasuk dalam awlawiyyat.

“Sebab itu kami tidak mahu perkara ini dipanjangkan, sebaliknya mengajak semua pihak menilai apakah bekalan yang benar-benar kita sediakan untuk kehidupan selepas mati,”.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Anugerah Carta IKIMfm 2025 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.

Dr Zulkifli turut bersetuju dengan pendirian Mufti Pulau Pinang Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman bahawa tindakan membelanjakan wang berlebihan untuk kain kafan mewah atau berjenama bukan sesuatu dianjurkan dalam Islam.

Bagaimanapun beliau berkata isu itu tidak wajar dipanjangkan sebaliknya umat Islam perlu mengambil peluang untuk bermuhasabah diri dan menilai sejauh mana persiapan dilakukan sebagai bekalan menghadapi kematian.

Sebelum ini, sebuah video tular di media sosial memaparkan seorang usahawan wanita berkongsi telah membuat tempahan set kain kafan didakwa mencecah hampir ribuan ringgit direka khas oleh pereka fesyen terkenal sebagai persediaan menghadapi kematian.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.