SIK, 6 Januari – Seramai 330 anak-anak yatim kurang berkemampuan di 11 daerah di Kedah menerima sumbangan persekolahan secara berperingkat dari Yayasan Anak-anak Yatim Sultanah Haminah (YAYSH) bagi tahun 2026.
Che Puan Besar Kedah, Tuanku Hajah Haminah Hamidun, bertitah sumbangan berupa kelengkapan sekolah dan wang tunai itu bertujuan meringankan beban anak-anak yatim daripada keluarga kurang berkemampuan, khususnya dalam menyediakan keperluan asas persekolahan.
“Ramai anak-anak yatim yang asnaf ini hidup dalam kesusahan dan ada kalanya keluarga mereka tidak tahu kepada siapa untuk meminta bantuan. Keadaan itu menyebabkan sebahagian mereka tersekat daripada meneruskan pelajaran. Kita bimbang akan masa depan mereka kerana pendidikan amat penting bagi memastikan mereka mempunyai kemampuan untuk berdikari,” titah baginda.
Baginda bertitah selepas berkenan menyempurnakan Majlis Kurniaan dan Sumbangan Persekolahan Yayasan Anak-anak Yatim Sultanah Haminah Tahun 2026 peringkat Daerah Sik, yang berlangsung di sini.
Tuanku Hajah Haminah juga menekankan kerjasama semua pihak, khususnya sektor korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli perniagaan serta individu berkemampuan agar tampil menghulurkan bantuan kepada anak-anak yatim kurang bernasib baik, terutama di kawasan luar bandar.
Sumbangan berkenaan melibatkan daerah Baling, Sik, Bandar Baharu, Kulim, Kuala Muda, Pokok Sena, Kubang Pasu, Yan, Pendang, Kota Setar dan Padang Terap, dengan 30 penerima dipilih bagi setiap daerah.
Majlis berkenaan turut dihadiri Ahli Lembaga Pengarah YAYSH, Datuk Rosli Awang, serta Pegawai Daerah Sik, Faisal Rizal Mohammad.
Program itu merupakan acara tahunan YAYSH dalam usaha berterusan membantu anak-anak yatim daripada keluarga kurang berkemampuan di seluruh Kedah.