KOTA KINABALU, 20 Oktober – Bakal calon Parti Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17 diingatkan agar sentiasa sedar bahawa tanggungjawab mereka sebagai wakil kepada perjuangan reformasi dan bukan jalan untuk mencari kemegahan mahupun kekayaan peribadi.
- Bakal calon PH mesti utamakan perjuangan reformasi, bukan mencari kemegahan atau kekayaan peribadi.
- Hanya calon yang sanggup memikul tanggungjawab reformasi patut dicalonkan oleh KEADILAN.
- Calon perlu benar-benar faham agenda reformasi Perdana Menteri dan komited bekerja untuk rakyat.
- Perkukuh budaya politik baharu berteraskan integriti dan tanggungjawab dalam kalangan pemimpin muda PH Sabah.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Sabah, Datuk Ts. Mustapha Sakmud mengingatkan bakal calon PH menggalas tanggungjawab reformasi tersebut.
“Kepada bakal-bakal calon KEADILAN PH ini anda mewakili parti Perdana Menteri. Anda kena membawa imej reformasi itu.
“Kalau anda bersedia untuk bertanggungjawab. Bolehlah kita bersedia untuk calonkan, tapi kalau tidak, saya fikir kalau rasa berat dalam agenda reformasi ini baik fikir semula. Ini pesanan awal saya kepada calon-calon kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas persiapan jentera menjelang PRU akan datang, sambil memaklumkan proses perundingan kerusi masih berjalan di sini.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa calon-calon yang akan dipilih mestilah benar-benar memahami agenda reformasi yang diperjuangkan Perdana Menteri, serta berkomitmen untuk bekerja bagi rakyat.
Datuk Ts. Mustapha Sakmud juga berharap budaya politik baharu yang berteraskan nilai integriti dan tanggungjawab akan terus diperkukuh dalam kalangan generasi pemimpin muda PH di Sabah.