GUA MUSANG, 1 Januari – Sejumlah 150 peserta membabitkan lebih 20 buah jentera pacuan empat roda (4×4) berjaya menamatkan cabaran Malaysia Adventure Trophy (MAT) 2025 selepas tempoh lapan hari.
- 150 peserta dari seluruh negara menamatkan cabaran MAT 2025 selepas lapan hari kompetisi lasak.
- Peserta berumur 17 hingga 65 tahun melalui sehingga 30 siri laluan hutan mencabar.
- Penaja dan agensi kerajaan memberi sokongan padu untuk promosi kawasan pedalaman Kelantan.
- Acara memberi impak pelancongan besar kepada Gua Musang dengan penyertaan keluarga peserta.
- Juara kategori T1, T2, T3 dan kategori Open (Team 117 Johor) diumumkan selepas penyampaian hadiah.
Pengarah program MAT 2025, Thomas Foo berkata peserta berumur di antara 17 hingga 65 tahun dari seluruh negara berjaya menempuhi sehingga 30 siri laluan hutan yang mencabar sepanjang kejohanan.
Pihaknya berpuas hati dengan permukaan trek semulajadi dan keadaan geografi di beberapa lokasi utama termasuk di Gua Musang dan Kuala Krai.
“Kita mendapat sokongan padu dari agensi kerajaan masing-masing dan trek di Kelantan sesuai untuk sukan lasak dan selepas ini kita akan adakan lagi. Ini cadangan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk mempromosikan kawasan pedalaman,” kata beliau ketika ditemui pemberita selepas majlis penutup dan penyampaian hadiah MAT 2025 di Dewan Datuk Ariffin Said, di sini.
“Sepanjang lapan hari kita di sini, kebanyakan trek di Kelantan ini kita boleh kata mencabar, tambahan lagi tiga/empat hari pertama cuaca hujan. Jadi alhamdulillah kita berpuas hati dengan trek, aturan perjalanan dan teknikal kita sediakan,” jelas Pengarah Operasi MAT 2025, Atan Aris.
“Sebenarnya ini memberi impak pelancongan besar kepada Gua Musang. Peserta terdiri daripada keluarga datang ke Gua Musang dan semua peserta bersama keluarga datang dan memberi satu nilai tambah kepada jajahan itu sendiri,” menurut Ketua Jajahan Gua Musang, Mohd Rosdhi Ismail.
Pemenang yang berjaya melaksanakan 25 tugasan berpasukan adalah Kumpulan Sandkat untuk Short Wheel Base (T1), Kumpulan Ghadong 4×4 untuk Long Wheel Base (T2) dan Kumpulan Lancar Jembal untuk Pick-Up (T3).
Manakala juara kategori Open dimenangi oleh Team 117 dari Johor yang berjaya menamatkan 30 cabaran istimewa.