APG 2025: Emas bukan sasaran skuad lawan pedang para negara

KUALA LUMPUR, 4 Jan – Tiada sasaran emas buat skuad lawan pedang para negara bagi kategori kerusi roda pada temasya Sukan Para ASEAN (APG) 2025 di Korat, Thailand berikutan berdepan kekangan persiapan.

Bagaimanapun, ketua jurulatih, Rubenchandran yakin anak buahnya mampu membawa pulang pulang pingat sekurang-kurangnya dua perak dan empat gangsa.

“Kita menyasarkan sekitar dua perak dan empat gangsa kerana persiapan untuk atlet berkerusi roda agak terhad.

“Ini kali pertama mereka menyertai kejohanan di Asia Tenggara dan sebelum ini program kerusi roda juga pernah dihentikan,” katanya ketika ditemui semasa sesi latihan di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik, di sini.

Beliau menjelaskan, sasaran pingat perak dilihat realistik berdasarkan tahap persiapan semasa atlet, namun tidak menolak kemungkinan kejutan emas sekiranya berjaya mara ke peringkat akhir.

“Kalau kita dapat masuk ke peringkat akhir dan raih emas, itu satu bonus besar dan pengiktirafan penting untuk acara lawan pedang berkerusi roda agar terus berkembang,” katanya.

Dalam pada itu, Rubenchandran memaklumkan skuad negara turut menampilkan dua atlet wanita yang menjalani latihan tidak kurang daripada tiga bulan selepas penganjur Thailand memperkenalkan acara berpasukan campuran lelaki dan wanita, sekali gus membuka peluang kepada Malaysia untuk merebut slot penyertaan.

Mengulas cabaran utama, beliau mengakui Thailand memiliki kelebihan dengan atlet lebih berpengalaman dan konsisten di peringkat antarabangsa, termasuk pemenang pingat emas Paralimpik sebelum ini.

“Untuk lelaki pula, ramai atlet Thailand mempunyai ranking dunia. Saya selalu ingatkan atlet kita supaya fokus kepada persembahan di gelanggang, soal menang atau kalah itu nombor dua,” katanya.

Beliau optimis sekiranya skuad negara mampu meraih pingat di APG kali ini, ia bakal membuka ruang untuk memperkukuh semula program pembangunan sukan lawan pedang berkerusi roda secara lebih sistematik pada masa hadapan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.