KUALA LUMPUR, 6 Januari- Tenis kerusi roda terus menjadi antara sukan penyumbang pingat paling konsisten buat kontinjen Para negara di Sukan Para ASEAN (APG).
Menjelang APG 2025, kem tenis kerusi roda negara menyasarkan dua pingat emas, meningkat berbanding satu emas yang diraih pada edisi 2022.
Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke APG 2025, Mohd Zarrawi Ravi Abdullah berkata cabaran utama ketika ini adalah memastikan kesinambungan prestasi pasukan, khususnya dalam aspek pelapis bagi menggantikan pemain senior pada masa hadapan.
“Cabaran kita ialah mendapatkan pelapis wanita. Walaupun acara memang ada, bilangan atlet wanita masih terhad. Kita perlu menilai acara mana yang mempunyai peserta dan mengatasi kekurangan ini,” kata Mohd Zarrawi kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika lawatannya ke latihan pusat tenis kerusi roda di ibu negara.
Menurut beliau, isu kekurangan atlet pelapis diharap dapat ditangani secara lebih menyeluruh apabila Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Para ASEAN pada tahun 2027.
Sementara itu, jurulatih podium dan pelapis tenis kerusi roda negara, Talhah Rahizam, berkata tempoh sekurang-kurangnya tiga hingga empat tahun diperlukan untuk membentuk pemain pelapis sedia ada ke tahap setanding pemain utama negara, Abu Samah dan Yusshazwan Yusoff.
“Harapan saya, kita dapat tampil lebih baik berbanding Sukan SEA lepas, di mana kita hanya meraih satu emas. Untuk APG kali ini, saya sasarkan dua emas,” kata Talhah kepada pemberita, hari ini.