PETALING JAYA, 6 Januari– Pasukan tenpin boling para negara berada pada tahap terbaik dan menunjukkan peningkatan prestasi menjelang Sukan Para ASEAN (APG) 2025 yang akan berlangsung dari 20 hingga 26 Januari ini.
Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke APG 2025, Mohd Zarrawi Ravi Abdullah berkata hasil pemantauan yang dijalankan mendapati persiapan atlet berjalan lancar tanpa sebarang isu, selain tahap keyakinan pasukan berada pada tahap memuaskan.
“Alhamdulillah atlet kita berada dalam keadaan yang sangat baik dan prestasi mereka juga semakin meningkat. Setakat ini tiada isu, cuma kita harapkan semuanya berjalan lancar ketika hari pertandingan nanti,” katanya.
Menurut beliau, walaupun sukan tenpin boling para sudah lama tidak dipertandingkan di peringkat ASEAN sejak edisi terakhir pada 2017, atlet negara tetap mendapat pendedahan menerusi kejohanan di peringkat Asia, termasuk pertandingan yang dianjurkan bersama Tenpin Bowling Congress Malaysia.
Tenpin boling para turut dikenal pasti sebagai antara sukan penyumbang pingat utama negara, selain renang dan olahraga, dengan sasaran beberapa pingat emas termasuk dalam acara perseorangan dan beregu.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa persiapan pasukan kini berjalan mengikut perancangan.
Kem latihan terakhir dijadualkan berlangsung pada 12 hingga 14 Januari di Kampung Pandan.
Kontinjen negara dijangka berlepas ke Thailand pada 15 Januari depan, di bawah pengurusan kem serta sokongan teknikal dan moral daripada barisan jurulatih bagi memastikan prestasi atlet berada pada tahap optimum.