Auckland Classic: Venus Williams tewas di pusingan pertama

AUCKLAND, 6 Januari– Legenda tenis Amerika Syarikat, Venus Williams tewas dalam tiga set kepada Magda Linette dalam Kejohanan Auckland Classic pada Selasa, ketika persiapan menghadapi Terbuka Australia pada usia 45 tahun.

Williams, pemegang gelaran tujuh kali Grand Slam dipaksa berhempas pulas sebelum keletihan menjejaskan prestasinya, sekali gus membolehkan pemain nombor 52 dunia, Linette, menang 6-4, 4-6, 6-2.

Bekas juara dunia nombor satu itu menerima sorakan hangat penonton ketika meninggalkan gelanggang dan kini akan menuju Hobart untuk satu lagi kejohanan pemanas badan sebelum Grand Slam pertama tahun ini.

Ini akan menjadi penampilan pertama Williams di Terbuka Australia sejak lima tahun lalu, di mana beliau akan menjadi pemain wanita tertua pernah bertanding di Melbourne selepas menerima wild card.

Dalam perlawanan tersebut, Williams mempamerkan empat servis ace dalam set kedua untuk memaksa set penentuan.

Namun, kehilangan rentak pada set ketiga apabila Linette mematahkan servisnya dua kali untuk mara ke pusingan kedua.

Linette, yang tewas dalam dua pertemuan sebelum ini menentang Williams, melahirkan rasa kagum terhadap legenda Amerika itu.

“Dia bergerak dengan baik, pukulan mantap, terutamanya ketika berlari ke ruang terbuka. Saya perlu kekal tenang, lebih konsisten dan mengurangkan kesilapan,” kata Linette.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.