SYDNEY, 6 Januari – Belgium mengesahkan tempat ke suku akhir kejohanan tenis Piala United selepas mencatat kemenangan bersih 3-0 ke atas Kanada dalam aksi Kumpulan B di Sydney, hari ini.
Kemenangan itu sekali gus memastikan Belgium muncul juara kumpulan dan layak ke peringkat suku akhir kejohanan berpasukan campuran berprestij tersebut.
Zizou Bergs membuka laluan Belgium apabila mengejutkan pemain nombor lima dunia dari Kanada, Felix Auger-Aliassime, dengan kemenangan straight set 6-4, 6-2 dalam perlawanan perseorangan lelaki.
Elise Mertens kemudian mengukuhkan kedudukan Belgium apabila menewaskan Victoria Mboko dalam perlawanan sengit selama dua jam lima minit, 6-3, 3-6, 6-3, sekali gus meletakkan pasukannya di ambang kelayakan.
Gandingan Bergs dan Mertens seterusnya melengkapkan kemenangan mutlak Belgium selepas menundukkan pasangan Kanada, Cleeve Harper dan Mboko, 6-3, 3-6, 10-5 dalam perlawanan beregu campuran yang ditentukan menerusi tie-break. -REUTERS