LONDON, 6 Januari – Chelsea mengesahkan pelantikan Liam Rosenior sebagai ketua jurulatih baharu kelab itu berkuat kuasa serta-merta, susulan pemecatan Enzo Maresca.
Jurulatih berusia 41 tahun itu menandatangani kontrak jangka panjang sehingga tahun 2032, sekali gus menjadi ketua jurulatih tetap keempat dilantik sejak kelab tersebut diambil alih oleh pemilik dari Amerika Syarikat, Todd Boehly pada 2022.
Rosenior sebelum ini mengendalikan kelab Perancis, Racing Strasbourg dan memilih meninggalkan jawatan tersebut bagi menyahut cabaran baharu bersama Chelsea.
Dalam kenyataan rasmi kelab, Rosenior menyifatkan pelantikannya sebagai satu penghormatan besar dan menzahirkan rasa bangga untuk memimpin kelab yang memiliki sejarah gemilang serta tradisi kejuaraan.
Sebelum berkhidmat di Strasbourg, beliau pernah memegang peranan kejurulatihan bersama Derby County dan Hull City.
Pada musim pertamanya di Perancis, Rosenior berjaya membimbing Strasbourg layak ke kejohanan Eropah buat kali pertama dalam tempoh 19 tahun. -REUTERS