MARRAKECH, 6 Januari – Juara bertahan, Ivory Coast, melangkah ke suku akhir Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) selepas menewaskan Burkina Faso 3-0 dalam perlawanan pusingan 16, di sini, pada Selasa.
Pemain sayap, Amad Diallo, meneruskan aksi cemerlangnya apabila menjaringkan satu gol dan mencipta satu lagi peluang, sekali gus dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan buat kali ketiga dalam kejohanan itu.
Diallo berkata walaupun penghargaan individu itu membanggakan, fokus utama pasukan adalah untuk menjulang trofi pada perlawanan akhir yang dijadual berlangsung pada 18 Januari nanti.
“Ia satu kebanggaan, tetapi yang paling penting bagi kami adalah menjulang piala pada 18 Januari. Itulah sasaran kami di sini,” katanya.
Ivory Coast dijadual menentang Mesir, juara tujuh kali, dalam perlawanan suku akhir di Agadir pada Sabtu.
Mengulas pertemuan menentang Mesir, Diallo mengakui sejarah silam memihak kepada lawan, namun menegaskan generasi pemain kini berbeza dan pasukannya bersedia menghadapi cabaran itu.
“Kami tahu Mesir mempunyai pemain berkualiti seperti Mohamed Salah dan Omar Marmoush. Kami akan membuat persiapan seperti perlawanan hari ini dan membuktikan kami datang untuk menjuarai kejohanan ini,” katanya.
Selain Diallo, dua lagi gol Ivory Coast disumbangkan oleh Yan Diomande dan Bazoumana Toure, ketika pasukan kendalian Emerse Fae menguasai hampir keseluruhan perlawanan.
Ketua jurulatih Ivory Coast, Emerse Fae, memuji persembahan penuh disiplin dan keazaman tinggi yang dipamerkan anak buahnya, terutama ketika peralihan serangan dan usaha menekan lawan.
“Pemain bermain dengan serius, agresif ketika merampas bola dan sangat berkesan dalam penyudah,” katanya.
Fae berkata pasukannya belum memberi tumpuan sepenuhnya terhadap perlawanan menentang Mesir, sebaliknya akan berehat terlebih dahulu sebelum membuat persiapan rapi menjelang aksi suku akhir.
Diallo, 23, yang akan kembali ke Manchester United selepas kejohanan ini, muncul antara pemain paling menyerlah setakat ini dengan tiga gol dan satu bantuan jaringan, sekali gus mengukuhkan usaha Ivory Coast mempertahankan kejuaraan. -REUTERS