KUALA LUMPUR, 4 Januari – Malaysian Football League (MFL) mengesahkan Kelantan The Real Warriors (TRW) tidak berdepan sebarang isu tunggakan gaji pemain bagi musim 2025-2026 setakat ini.
MFL menerusi kenyatan memaklumkan, isu tunggakan gaji yang dikaitkan dengan kelab berkenaan melibatkan pembayaran gaji musim 2024 – 2025 di bawah pengurusan pemilik terdahulu.
Sehubungan itu, kelab telah diarahkan oleh First Instance Body (FIB) di bawah Financial Fair Play (FFP) pada 14 November 2025 untuk mengemukakan bukti pembayaran atau pelan pembayaran sebelum atau pada 31 Disember 2025.
MFL menegaskan bahawa di bawah pengurusan semasa, tiada sebarang tunggakan gaji direkodkan bagi musim ini, sekali gus menunjukkan pematuhan kelab terhadap peraturan FFP yang ditetapkan.
Selain Kelantan TRW, PDRM FC yang mempunyai kes tunggakan gaji pemain bagi musim ini juga telah diarahkan untuk menyerahkan dokumen FFP dalam tempoh yang sama.
MFL turut bekerjasama dengan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) bagi memastikan kebajikan pemain terus terpelihara melalui pelaksanaan mekanisme FFP.
Sebarang keputusan berhubung kes tunggakan gaji melibatkan Kelantan TRW dan PDRM FC akan dibincangkan dalam mesyuarat FFP FIB dalam masa terdekat.