KL City akui tugas sukar sebelum tewaskan Imigresen FC

KUALA LUMPUR, 4 Januari – Ketua Jurulatih Kuala Lumpur City FC, Risto Vidakovic mengakui pasukannya berdepan tugas sukar sebelum menewaskan Imigresen FC 4-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Bandar Tun Razak.

Menurut Vidakovic, Imigresen memiliki penyerang yang kuat terutama ketika melakukan serangan balas pantas, namun pasukannya berjaya menguasai perlawanan pada separuh masa pertama.

“Ini perlawanan yang sangat sukar dan rumit. Imigresen mempunyai pemain sayap yang laju dan berbahaya. Pada separuh masa pertama, kami menguasai hampir keseluruhan permainan, tetapi kami bermula dengan sangat buruk pada separuh masa kedua,” katanya.

Beliau mengakui sedikit terkejut apabila pasukannya ketinggalan 1-2 seawal lima minit separuh masa kedua, menyifatkan situasi itu berpunca daripada sikap terlalu yakin sebelum kebangkitan semula pasukan.

“Kami sedikit terkejut dan mungkin terlalu yakin. Namun selepas ketinggalan, pemain kembali fokus,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Imigresen FC, Yusri Che Lah mengakui kecewa dengan prestasi separuh masa kedua pasukannya selepas mendahului perlawanan, namun tetap memuji semangat juang pemain.

“Walaupun tewas, banyak perkara positif boleh diambil. Ketika mendahului, saya sendiri agak terkejut dengan persembahan separuh masa kedua yang akhirnya menjadi goyah selepas kad merah,” katanya.

Yusri menjelaskan kekurangan pemain dan kecederaan memberi kesan besar, terutama di posisi pertahanan tengah sehingga memaksa pemain beraksi di luar posisi asal.

“Kami hanya membawa 19 pemain dan tidak semuanya cergas sepenuhnya. Di barisan pertahanan, saya hanya ada seorang centre back tulen. Namun itu bukan alasan kekalahan,” katanya.

Share
Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.