BRISBANE, 6 Januari – Kejutan besar mewarnai pusingan awal Kejohanan Tenis Brisbane International apabila pilihan kedua, Alejandro Davidovich Fokina dan pilihan keempat dari Amerika Syarikat (AS), Tommy Paul, serta pemain tuan rumah, Nick Kyrgios tersingkir seawal perlawanan pertama, hari ini.
Pemain Sepanyol, Davidovich Fokina, gagal mempertahankan status pilihan apabila tewas straight set 6-7, 4-6 kepada wakil AS, Brandon Nakashima.
Sementara itu, Tommy Paul turut menerima nasib sama selepas melalui pertarungan sengit sebelum kecundang kepada pemain Perancis, Giovanni Mpetshi Perricard, 6-7, 6-3, 6-7.
Tumpuan turut terarah kepada Kyrgios yang kembali beraksi dalam perlawanan perseorangan pertamanya sejak Mac lalu selepas bergelut dengan kecederaan.
Pemain berusia 30 tahun itu bagaimanapun hanya bertahan selama 65 minit sebelum tewas 3-6, 4-6 kepada seorang lagi pemain AS, Aleksandar Kovacevic.
Kyrgios kini berharap memperoleh tiket wild card ke Terbuka Australia di Melbourne Park dan dijangka meneruskan usaha meningkatkan kecergasan perlawanan apabila bergandingan bersama Thanasi Kokkinakis dalam acara beregu pusingan 16 terbaik, esok. -REUTERS