La Liga: Jaringan Olmo, Lewandowski bantu Barca kekal teratas

Barcelona, 4 Januari – Barcelona mencatat kemenangan 2-0 ke atas Espanyol dalam aksi Derbi Catalonia di RCDE Stadium pada Sabtu, sekali gus melebarkan jarak kepada tujuh mata di tangga teratas La Liga.

Juara liga itu banyak ditekan oleh Espanyol, namun penjaga gol Barca, Joan Garcia, tampil cemerlang mengawal gawang daripada dibolosi sebelum Dani Olmo membuka tirai jaringan pada minit ke-86.

Robert Lewandowski kemudian menambah gol kedua melalui hantaran Fermin Lopez dan memastikan kemenangan kesembilan berturut-turut Barca dalam liga.

Manakala Espanyol terpaksa akur gagal meneruskan rentak cemerlang selepas meraih lima kemenangan berturut-turut sebelum ini.

Sementara itu, Jurulatih Barcelona, Hansi Flick mengakui skuad kendaliannya tidak bermain dengan baik berdepan Espanyol.

“Kami sebenarnya tidak layak menang, tetapi kualiti yang dibawa masuk selepas pertukaran pemain menentukan perlawanan.

“Saya harus mengucapkan terima kasih kepada Joan Garcia kerana dia bermain dengan sangat baik. Dia antara penjaga gol terbaik di dunia.” katanya.

Barcelona kini memungut 49 mata, meninggalkan Real Madrid di kedudukan kedua dengan 42 mata.

Espanyol pula di tangga kelima dengan kutipan 33 mata. – AFP

Share
Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.