KUALA LUMPUR, 4 Jan – Kuala Lumpur City akhirnya menamatkan kemarau tiga perlawanan tanpa kemenangan selepas menewaskan Imigresen FC 4-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Bandar Tun Razak, di sini hari ini.
Kemenangan itu melonjakkan anak buah Risto Vidakovic ke tangga ketiga liga dengan 28 mata, berkongsi mata dengan Kuching City di tempat kedua namun dibezakan menerusi perbezaan jaringan.
Perlawanan berlangsung sengit dengan KL City terlebih dahulu diuji nasib apabila dua jaringan mereka pada babak pertama dibatalkan menerusi keputusan VAR.
Victor Ruiz hampir membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh namun golnya dibatalkan sebelum percubaan jarak jauh Syamer Kutty Abba ditepis penjaga gol Imigresen, Zarif Irfan Hashimuddin.
Tuan rumah akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-31 apabila Paulo Josue menyudahkan hantaran lintang Kamal Azizi Zabri, dengan VAR mengesahkan jaringan tersebut untuk kedudukan 1-0 sehingga rehat.
Imigresen bangkit menyamakan kedudukan seawal minit pertama babak kedua menerusi Fadzrul Danel Mohd Nizam sebelum Eduardo Sosa meletakkan pelawat di hadapan pada minit ke-60.
Bagaimanapun, Josue kembali menceriakan kem KL City apabila meledak gol penyamaan pada minit ke-67.
Imigresen kemudiannya terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Mior Dani Armin Mior Ariffen dilayangkan kad merah.
Situasi itu dimanfaatkan sepenuhnya KL City apabila Safawi Rasid dan Kpah Sherman masing-masing menjaringkan gol pada minit ke-76 dan 78 untuk mengesahkan kemenangan 4-2 tuan rumah.