KUALA LUMPUR, 6 Januari – Malaysia bersedia menjadi contoh penganjuran kejohanan sukan antarabangsa apabila bakal menjadi tuan rumah Piala Dunia Sepak Takraw 2026 yang dijadual berlangsung dari 12 hingga 24 Mei di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.
Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan berkata aspek keselamatan, kebajikan dan keselesaan atlet akan diberi keutamaan sepanjang kejohanan yang menghimpunkan penyertaan besar-besaran dari pelbagai negara.
“Sudah tentu dari segi aspek keselamatan, kebajikan, keselesaan akan kita beri keutamaan dan kita cuba buat sehabis baik untuk menganjurkan Piala Dunia ini supaya kita akan jadi contoh kepada negara lain bahawa kejohanan antarabangsa di Malaysia adalah perkara yang berbeza,” kata beliau pada sidang media, hari ini.
Edisi kali ini dijangka lebih meriah dengan penyertaan 14 negara bagi kategori Premier, meningkat berbanding 12 negara pada penganjuran terdahulu, termasuk dua negara yang dinaikkan dari Division 1 berdasarkan prestasi semasa.

Foto BERNAMA
Antara negara yang mengesahkan penyertaan kategori Premier ialah Malaysia, Thailand, Singapura, Indonesia, India, Korea, Jepun, Brunei, Filipina, Myanmar, Vietnam, China, Iran dan Taiwan.
Bagi kategori Division 1 pula, sebanyak 12 negara dijangka beraksi termasuk Sri Lanka, Nepal, Kanada, Poland, Perancis, Iraq, Amerika Syarikat, Timor-Leste, Arab Saudi dan Oman.
Datuk Mohd Sumali turut memaklumkan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 kekal sebagai kejohanan terbuka tanpa had penyertaan acara, dengan perlawanan berlangsung setiap hari melibatkan acara regu, kuadran dan berpasukan sepanjang tempoh kejohanan.
Secara keseluruhan, kejohanan selama hampir dua minggu itu dijangka menghimpunkan kira-kira 352 pemain, pegawai dan pengadil, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai penganjur kejohanan sukan bertaraf dunia.
