MADRID, 21 Disember – Kylian Mbappe menyamai rekod Cristiano Ronaldo dengan 59 gol dalam satu tahun kalendar apabila Real Madrid menewaskan Sevilla 2-0 dalam aksi La Liga, Sabtu.
Bintang Perancis itu menyamakan rekod gol Ronaldo yang dicatat pada 2013 menerusi sepakan penalti lewat permainan, selepas Jude Bellingham meletakkan tuan rumah di hadapan menerusi tandukan pada separuh masa pertama.
Kemenangan itu membolehkan Real Madrid yang berada di tangga kedua merapatkan jurang kepada satu mata dengan pendahulu liga, Barcelona, sebelum kelab Catalan itu bertandang ke Villarreal pada Ahad.
“Melakukan apa yang idola saya Cristiano lakukan, pemain terbaik dalam sejarah Real Madrid dan antara yang terhebat di dunia, adalah satu penghormatan,” kata Mbappe, yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-27 pada Sabtu.
Mbappe meraikan golnya dengan gaya ikonik Ronaldo sebagai penghormatan kepada legenda Portugal itu.
Ia kemenangan ketiga berturut-turut Real Madrid dalam semua pertandingan, selepas hanya mencatat dua kemenangan dalam lapan perlawanan sebelum ini, sekali gus sedikit meredakan tekanan terhadap ketua jurulatih Xabi Alonso walaupun prestasi pasukan masih belum meyakinkan.
“Kami ada masa untuk menilai kedudukan kami sekarang, mahu jadi lebih baik, bersikap kritikal terhadap diri sendiri. Kami raih tiga mata dan akan gunakan tempoh ini untuk memulakan tahun baharu dengan lebih baik,” kata Alonso menjelang rehat musim sejuk.
Dalam perlawanan lain, Celta Vigo seri 0-0 dengan Real Oviedo, Levante terikat 1-1 dengan Real Sociedad, manakala Osasuna menewaskan Alaves 3-0.-AFP