AMPANG, 4 Januari – Seramai 1,100 peserta menyertai Melawati Run 2026 yang berlangsung di Taman Melawati, Gombak, Selangor, melibatkan dua kategori larian iaitu tujuh kilometer dan 15 kilometer.
Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Hasrolnizam Shaari berkata program itu bukan sekadar acara sukan, malah berkembang sebagai platform penyatuan komuniti yang menyemarakkan semangat kesukanan, kesejahteraan fizikal serta kesihatan mental.
Menurutnya, sambutan amat menggalakkan daripada masyarakat setempat membuktikan Melawati Run kini menjadi antara program komuniti yang paling dinanti-nantikan di kawasan Ampang Jaya.
Program anjuran Kelab Rekreasi Taman Melawati dengan kerjasama MPAJ itu akan terus komited menyokong dan menganjurkan program berteraskan kesejahteraan rakyat, selari dengan aspirasi mewujudkan persekitaran bandar yang sihat, selamat dan berdaya huni.
Beliau turut berharap Melawati Run dapat terus diperkasa sebagai acara ikonik MPAJ dan Selangor, sekali gus menjadi pemangkin kepada pembudayaan gaya hidup aktif dalam kalangan masyarakat.