KUALA LUMPUR, 6 Januari – Tekong utama skuad negara, Muhammad Syahir Mohd Rosdi dianugerahkan Certificate of Distinguished International Excellence oleh Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF).
Ia sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlang beliau di peringkat antarabangsa.
Menurut ISTAF, Muhammad Syahir menerima sijil berkenaan atas prestasi luar biasa sebagai “Tekong Terbaik Dunia”, khususnya selepas aksi memukau di Piala Dunia 2024, Piala Asia 2025 dan Sukan SEA 2025.
Menurut kenyataan sijil berkenaan, kejayaan Muhammad Syahir didorong oleh penguasaan teknik elit, kecerdasan taktikal, ketahanan mental dan kecemerlangan kompetitif, membolehkan beliau secara konsisten beraksi pada tahap tertinggi dalam sepak takraw antarabangsa.
ISTAF turut memuji keupayaan atlet berusia 29 tahun itu mengharumkan nama Malaysia dengan cemerlang, di samping memberi cabaran sengit kepada pemain elit terbaik Thailand sehingga meraih pengiktirafan meluas di peringkat antarabangsa, khususnya daripada media sukan Thailand yang menyifatkan Muhammad Syahir sebagai antara tekong terbaik dunia.
ISTAF berharap penganugerahan sijil itu menjadi lambang kecemerlangan, sumber inspirasi dan kebanggaan negara, selain dijadikan penanda aras bagi generasi atlet sepak takraw pada masa hadapan.
Muhammad Syahir mengemudi kejayaan Malaysia dalam acara regu pada Piala Dunia 2024 dan Piala Asia 2025, selain memainkan peranan penting dalam kemenangan bersejarah skuad kebangsaan ke atas musuh tradisi, Thailand, bagi merangkul pingat emas acara berpasukan dan regu pada Sukan SEA 2025.