Obor Olimpik teruskan perjalanan ke Bologna

BOLOGNA, 7 Januari – Obor Olimpik meneruskan perjalanannya merentasi laluan bersalji tebal menuju ke bandar Bologna di utara Itali, Selasa, dengan kira-kira sebulan lagi sebelum temasya Sukan Olimpik Musim Sejuk Milano-Cortina bermula.

Walaupun berdepan cuaca sejuk dan keadaan bersalji, larian obor itu tetap diteruskan dengan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat, termasuk warga emas serta individu berkerusi roda, melambangkan semangat kesukanan, keterangkuman dan perpaduan.

Api Olimpik memulakan perjalanannya di seluruh Itali dari Rome sebulan lalu dan telah singgah di pulau Sardinia dan Sicily, selain bandar selatan Naples dan Bari, sebagai sebahagian daripada laluan sejauh kira-kira 12,000 kilometer sebelum berakhir di Stadium San Siro, Milan, pada 6 Februari.

Perarakan obor itu merupakan antara usaha penganjur untuk menyemarakkan keterujaan rakyat Itali menjelang temasya berkenaan, yang akan berlangsung di beberapa lokasi utama di seluruh negara.

Bandar Milan, sebagai pusat kewangan Itali, dan pusat peranginan Alpine Cortina d’Ampezzo akan menjadi dua hab utama penganjuran Sukan Olimpik Musim Sejuk berkenaan. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.