SEPANG, 11 Disember – Motivasi barisan skuad Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) berada pada tahap terbaik menjelang Sukan SEA Thailand 2025.
Pengurus Pasukan MLBB Negara, Simon Lim Swee Teck berkata prestasi semasa menunjukkan Malaysia memiliki kapasiti sebenar untuk mencabar dominasi Filipina yang tampil dengan skuad sama sejak tiga tahun lalu.
“Sasaran kita memang (pingat) emas. Kemenangan di Kejohanan Dunia e-Sukan IESF 2025 ini satu moral ‘booster’ besar. Pemain sekarang dalam prestasi terbaik, semuanya berjalan lancar,
“Filipina dah tiga tahun bermain sebagai satu pasukan, kita baharu masuk minggu ketiga…tapi tiada yang mustahil. Kalau kita kekalkan konsistensi macam di IESF, kita mampu cabar Filipina,” katanya ketika ditemui sebelum berlepas ke Bangkok di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2, di sini hari ini.
Beliau turut menyatakan Malaysia mempunyai ‘senjata rahsia’ yang mampu digunakan jika strategi sedia ada dibaca pihak lawan.
Simon berkata kombinasi pemain tempatan bersama kehadiran pemain berpengalaman seperti Lolealz dan Momo menjadikan skuad kali ini lebih seimbang, fleksibel serta memiliki kekuatan mental yang tinggi selain disiplin yang mantap.
Selain itu, jadual latihan turut dipertingkat untuk memastikan ketahanan dan fokus pemain berada pada paras optimum.
“Biasanya kami berlatih tiga kali sehari. Untuk Sukan SEA ini, kita naikkan kepada empat kali kira-kira 16 perlawanan sehari, dari pukul 2 petang sampai 12 malam. Itu pengorbanan pemain,” jelasnya.
Mengulas persiapan di arena kejohanan, atlet negara Haziq Danish Mohamad Rizwan (Stormie) yakin Malaysia mampu membawa pulang pingat emas berdasarkan momentum yang ditunjukkan sejak IESF.
“Kalau tengok corak permainan dan keputusan kami di IESF, kami sangat bersedia dan memang sasaran emas kali ini. Kami ada beberapa strategi dan harap dapat kutip mata penting daripada Filipina,” katanya.
Stormie menegaskan kekuatan utama pasukan ialah keserasian dan komunikasi yang semakin kukuh setelah melalui siri latihan intensif.
Malaysia belum pernah memenangi emas acara MLBB sejak ia diperkenalkan pada 2019, dengan pasukan lelaki membawa pulang perak manakala wanita memperoleh gangsa pada edisi 2023 di Kemboja.