Terbuka Malaysia 2026: Kem badminton negara bermula positif

KUALA LUMPUR, 6 Januari – Kem badminton negara bermula positif pada kejohanan Terbuka Malaysia 2026 apabila beberapa pasangan beregu negara berjaya melangkah ke pusingan kedua pada aksi pembukaan di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini.

Beregu campuran negara, Hoo Pang Ron–Cheng Su Yin memulakan kempen dengan langkah kanan apabila menewaskan pasangan Denmark, Mathias Christiansen–Alexander Boje.

Pada penampilan kedua mereka di Terbuka Malaysia sejak debut pada tahun lalu, pasangan ranking ke-21 dunia itu bangkit selepas tewas set pertama 20-22 sebelum menang 21-18, 21-17, sekali gus menamatkan kemarau kemenangan ke atas lawan tersebut.

Sementara itu, satu lagi beregu campuran negara, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei meneruskan dominasi ke atas gandingan Indonesia, Jafar Hidayatullah–Felisha Alberta Nathaniel Pasaribu apabila mencatat kemenangan ketujuh berturut-turut ke atas pasangan itu.

Juara dunia tersebut menepati ramalan dengan kemenangan straight set 21-12, 21-17 dalam tempoh 39 minit.

Dalam acara beregu lelaki, Goh Sze Fei–Nur Izzuddin Rumsani mempamerkan aksi meyakinkan apabila menundukkan wakil Denmark, Daniel Lundgaard–Mads Vestergaard 21-15, 21-13 untuk mara ke pusingan kedua, sekali gus menebus kekecewaan edisi lalu.

Turut mengikut jejak langkah mereka ialah Man Wei Chong–Tee Kai Wun yang mencipta kejutan dengan menyingkirkan pasangan berpengalaman Denmark, Kim Astrup–Anders Skaarup Rasmussen 21-17, 21-18 dalam perlawanan sengit yang mencuri tumpuan penyokong.

Kecemerlang beregu lelaki negara diteruskan oleh Nur Mohd Azriyn Ayub Azriyn–Tan Wee Kiong yang bangkit menewaskan rakan sepasukan, Ong Yew Sin–Teo Ee Yi 11-21, 24-22, 21-11 dalam pertarungan selama 52 minit.

Kejayaan itu menyuntik keyakinan kem negara untuk meneruskan cabaran pada pusingan seterusnya kejohanan berstatus Super 1000 tersebut.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.