Terbuka Malaysia: Soon Huat-Shevon ke pusingan kedua

KUALA LUMPUR, 7 Januari – Beregu campuran negara Goh Soon Huat–Shevon Lai Jemie mempamer semangat juang luar biasa untuk mara ke pusingan kedua Terbuka Malaysia 2026, hari ini.

Meskipun Shevon beraksi dalam keadaan tidak sihat akibat keracunan makanan, pasangan ranking kesembilan dunia itu tetap bangkit selepas tewas set pertama untuk menundukkan pasangan Taiwan, Wu Guan-xun–Lee Chia-hsin, 15-21, 21-19, 21-14 dalam pertarungan selama 56 minit di Axiata Arena.

Soon Huat mengakui kemenangan tersebut lebih bermakna kerana terpaksa memikul tanggungjawab berganda di gelanggang demi menampung kekangan pasangannya yang juga isteri.

“Saya memang tak cukup rehat sebab kena jaga dia satu malam. Dia muntah-muntah sejak tengah malam, jadi dua-dua agak letih hari ini,” katanya ketika ditemui selepas kejohanan.

Fokus terhadap taktikal, komunikasi dan kekuatan mental menjadi kunci kebangkitan mereka selepas set pertama yang hambar.

“Dalam game tadi, saya kena cover lebih untuk partner dan bergerak lebih banyak. Kami juga ambil masa untuk sesuaikan rentak sebab ini pasangan baru dari Taiwan,

“Walaupun kalah set pertama, kami masih fokus kepada taktikal, mental dan komunikasi. Itu yang bantu kami bangkit dalam set penentuan,” katanya.

Beregu negara itu bakal berdepan pasangan dari Amerika Syarikat, Presly Smith–Jennie Gai dalam aksi pusingan kedua esok, dengan Soon Huat optimis untuk mara lebih jauh dalam kejohanan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.