Zii Jia sertai Piala Thomas jika kembali cergas

KUALA LUMPUR, 7 Januari – Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia, menegaskan hanya akan menyertai skuad kebangsaan bagi menghadapi Piala Thomas di Horsens, Denmark pada April depan sekiranya tahap permainannya kembali sekurang-kurangnya antara 70 hingga 80 peratus.

Menurut Zii Jia, beliau tidak mahu menyarung jersi negara sekadar melengkapkan pasukan tanpa berada pada tahap keyakinan dan prestasi sebenar, termasuk jika diturunkan sebagai pemain perseorangan ketiga.

“Sudah tentu saya sentiasa bersedia jika pasukan memerlukan khidmat saya, namun jangkaan saya terhadap diri sendiri mungkin sedikit berbeza. Saya perlu kembali sekurang-kurangnya pada tahap 70 hingga 80 peratus barulah benar-benar yakin untuk mewakili negara dalam Piala Thomas. Secara jujurnya, jika diturunkan sebagai perseorangan ketiga, saya sendiri tidak melihatnya sebagai satu kelebihan,” katanya.

Ketika ini, Zii Jia, berada di ranking ke-144 dunia susulan kejatuhan kedudukan akibat berehat panjang kerana kecederaan buku lali dan belakang musim lalu, namun masih memiliki perlindungan ranking di kedudukan kelapan dunia untuk menyertai kejohanan utama Jelajah Dunia.

Bekas juara Seluruh England itu membuat kemunculan semula di Terbuka Malaysia, namun tersingkir seawal pusingan pertama selepas tewas kepada pemain India, Ayush Shetty.

Zii Jia menilai prestasinya ketika ini sekitar 50 hingga 60 peratus dan mengakui masih memerlukan masa untuk mendapatkan semula kecergasan serta sentuhan sebenar.

Empat kejohanan awal musim termasuk Terbuka India, Masters Indonesia dan Masters Thailand bakal menjadi platform penting buatnya membina semula momentum serta memperbaiki kedudukan ranking dunia menjelang tugasan antarabangsa seterusnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.