KUALA LUMPUR, 6 Januari – Kemunculan semula Lee Zii Jia tidak berakhir seperti diharapkan apabila pemain perseorangan lelaki negara itu tersingkir seawal pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2026 selepas tewas kepada wakil India, Ayush Shetty.
Zii Jia akur kecundang straight set 12-21, 17-21 dalam perlawanan yang berlangsung di sini hari ini.
Menurut Zii Jia, beliau masih bergelut untuk pulih sepenuhnya daripada kecederaan, sekali gus menjejaskan pergerakan serta prestasinya di dalam gelanggang.
Jelasnya lagi, tahap kecergasan ketika ini hanya berada sekitar 50 hingga 60 peratus berbanding tahap terbaiknya.
“Memang nampak saya belum 100 peratus lagi. Saya sendiri tak begitu berpuas hati dengan prestasi hari ini. Saya tahu lawan bukan mudah kerana dia pemain muda yang sedang meningkat naik,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan Terbuka Malaysia 2026, di sini hari ini.
Pemain berusia 28 tahun itu menjelaskan beliau telah cuba sedaya upaya khususnya pada set kedua, namun kekangan fizikal menjadi penghalang utama.
Dalam pada itu, Zii Jia turut menyifatkan keupayaannya menghabiskan perlawanan tanpa kecederaan sebagai satu perkembangan positif dalam proses pemulihannya.
“Paling penting untuk saya sekarang adalah dapat habiskan satu perlawanan penuh tanpa kecederaan,” ujarnya.
Terdahulu, Zii Jia mengalami kecederaan buku lali ketika beraksi pada Jelajah Dunia Akhir BWF Disember 2024 sebelum kembali ke gelanggang di Masters Orleans dan Seluruh England pada Mac tahun lalu.
Bagaimanapun, kecederaan tersebut belum pulih sepenuhnya, memaksanya kembali berehat dan terlepas peluang beraksi di Kejohanan Dunia di Paris pada Ogos.
Beliau kemudiannya sempat beraksi di Terbuka Hong Kong, namun menarik diri seawal pusingan pertama Masters China pada September lalu akibat kecederaan belakang.