Kemenangan Sze Fei–Nur Izzuddin dibantu sokongan BAM, sentuhan Kien Keat

KUALA LUMPUR, 6 Januari – Sokongan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) serta sentuhan bekas pemain nombor satu dunia, Koo Kien Keat menjadi antara faktor utama membantu gandingan beregu lelaki negara, Goh Sze Fei -Nur Izzuddin Rumsani melakar kemenangan meyakinkan pada pusingan pertama Terbuka Malaysia 2026, hari ini.

Pasangan ranking ketujuh dunia itu menundukkan wakil Denmark, Daniel Lundgaard–Mads Vestergaard 21-15, 21-13 sekali gus melangkah ke pusingan kedua kejohanan dan membalas kekecewaan edisi lalu.

Menurut Sze Fei, kehadiran Kien Keat banyak membantu meningkatkan keyakinan mereka, khususnya dari aspek mental dan persiapan sebelum kejohanan.

“Bukan saja dari segi corak permainan tetapi cara kami berfikir dan buat persiapan sepanjang satu kejohanan. Itu banyak dibantu oleh Kien Keat.

“Kami amat berterima kasih kepada BAM dan semua jurulatih yang banyak membantu persiapan kami,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Nur Izzuddin turut mengakui input bekas jaguh negara itu memberi kesan positif terhadap cara mereka mengawal emosi dan membuat keputusan di dalam gelanggang.

“Cara berfikir kami dalam gelanggang dan bagaimana kami menghadapi satu-satu perlawanan banyak berubah,” katanya.

Dalam aksi di hadapan penyokong sendiri, Sze Fei–Nur Izzuddin mempamerkan permainan lebih tenang dan berani sekali gus mengawal perlawanan sejak set pertama.

Gandingan negara itu dijadualkan beraksi pada pusingan kedua, Khamis ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.